Alahai, kebun timun dihanyut banjir…

 

“SEMUA beg semaian itu sudah di isi sabut mesin dan dalam proses untuk tanam benih pokok timun saja, tapi semuanya hanyut akibat banjir,” kata pengusaha kebun timun, Azizan Abdul Rahman, 65.

Warga emas itu kerugian hampir RM1,000 apabila 600 beg semaian yang berisi sabut mesin di kebun timun yang diusahakan di Kampung Besut, di Permaisuri, hanyut akibat banjir yang berlaku sejak kelmarin.

Azizan berkata, dia baru menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan tanah seluas setengah ekar berdekatan rumahnya, sejak awal tahun lalu.

Katanya, tanaman terbabit diusahakan secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan untuk menampung keluarganya.

“Saya baru saja tuai hasil tanaman timun terbabit pada awal November lalu dan dalam proses untuk tanam semula.

“Bagaimanapun, semua beg semaian terbabit tidak sempat diselamatkan apabila air naik mendadak di kawasan kediaman kami.

“Malah peralatan lain seperti tangki air turut hanyut selain rumah kami turut dinaiki air,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dia bagaimanapun reda dengan musibah terbabit.

“Mungkin ada hikmahnya di sebalik musibah yang berlaku ini dan ia memberi pengajaran untuk saya melakukan persiapan awal pada musim tengkujuh akan datang.

“Namun saya tidak putus asa dengan apa yang berlaku ini dan akan berusaha untuk terus mengusahakan tanaman timun sebagai sumber rezeki bagi menampung keperluan keluarga.

“Insya-Allah sekiranya ada rezeki dan dapat kawasan yang elok saya akan memperluaskan tanaman timun ini,” katanya.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! Metro Kini

Sumber: HM

Be the first to comment on "Alahai, kebun timun dihanyut banjir…"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*